Selamat datang di Suara Indonesian sebuah blog tentang segala informasi mengenai Indonesia dengan segala perkembangannya, semoga blog ini bisa menambah sedikit wawasan anda.

Mohon kritik & saran berkaitan dengan penulisan artikel blog ini.

Terima kasih.

Maju Terus Indonesia!!

Melaka & Negeri Sembilan: Sungai najis babi

MASJID TANAH: Keladak hitam berbau busuk yang mengalir ke laut menerusi Sungai Tuang di Pengkalan Balak dekat sini sejak 47 tahun lalu bagaikan duri dalam daging kepada 600 penduduk yang bermastautin di sekitar kampung berkenaan.

Mana tidaknya, air jernih yang sebelum ini menjadi tempat anak muda mandi manda bertukar najis apabila penternak yang datang menyewa tanah asal penduduk membuka ladang ternakan babi hingga pernah mencecah sekitar 500,000 ekor pada 1980-an.

Kehidupan harian penduduk juga bertukar suram apabila najis babi mengalir ke laut sekali gus hampir ‘mematikan’ Pantai Pengkalan Balak yang suatu ketika dulu penuh sesak dengan pengunjung yang datang untuk mandi manda.

Rentetan peristiwa sedih sudah banyak kali dilalui, paling hangat pada Disember 2008 apabila pengunjung pantai itu ternampak kepala babi hanyut ke pantai dan terdampar di Pantai Padang Kemunting.



Tidak cukup dengan najis babi yang mengalir di Sungai Tuang, bau busuk khususnya pada waktu malam menyeksa hidung apabila ia meruap ke segenap kampung. Keadaan bertambah buruk apabila tiba musim monsun Timur Laut pada hujung tahun.

Anehnya, ratusan aduan rasmi sudah dibuat penduduk kampung itu kepada pelbagai pihak, tetapi semuanya berakhir dengan kehampaan kerana tiada tindakan susulan. Antara alasan tiada jabatan atau undang-undang yang boleh diguna pakai untuk mendakwa pihak membawa punca sesuatu pencemaran bau.

Seorang penduduk, Sudin Bidin, 57, berkata Sungai Tuang yang dulunya bersih dan jernih, kini tidak lagi menjadi kebanggaan penduduk sebaliknya mereka malu kepada masyarakat luar yang sudah mengetahui keadaan sebenar di kampung itu.

“Ketika saya kecil dulu, sungai itulah menjadi tempat mandi anak-anak muda kampung, manakala pantainya penuh dengan orang beriadah. Malah, ketika itu hasil tangkapan ikan nelayan di kampung ini juga lumayan, tetapi semuanya sudah berubah.

“Di pantai Pengkalan Balak ini dulu penuh dengan pelbagai jenis ikan termasuk ikan selangat yang menjadi lauk utama penduduk, tetapi sekarang ia bagaikan sudah pupus dan kalau adapun saiznya agak kecil,” katanya ketika ditemui.

Sudin berkata, sejak Sungai Tuang di tengah kampung itu dipenuhi najis babi, beliau mendakwa pelbagai masalah kesihatan timbul terutama penyakit berkaitan pernafasan dan kanak-kanak sering mengalami alahan berupa selesema yang mengambil masa lama untuk sembuh.

Seorang peniaga yang enggan dikenali mengakui, hak asasi mereka untuk menikmati kehidupan bebas pencemaran sudah dinafikan apabila tiada usaha konkrit dilakukan kerajaan negeri untuk menutup terus ladang babi di kawasan itu.

“Kami penduduk kampung diasak pelbagai janji, tetapi kini semuanya sudah terlambat termasuk usaha terbaru Jabatan Pengairan dan Saliran yang melebarkan tebing Sungai Tuang. Usaha itu kita fikir bertujuan mempercepatkan aliran najis babi memasuki laut Pengkalan Balak tanpa tersekat sehingga menimbulkan bau,” katanya.

Oleh Nasir Abd Wahab
Sumber: www.bharian.com.my

Baca juga artikel dibawah ini:



0 komentar:

Posting Komentar

Silahkan Tinggalkan Komentar Anda Dibawah ini