BHARIAN: Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan memutuskan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kononnya ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa ahli atau penyokong parti itu ke syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata isu berkenaan sebenarnya sudah dibincangkan sejak 2000 lagi dan jawatankuasa itu memutuskan bahawa ketentuan sama ada seseorang Islam masuk syurga atau neraka hak mutlak Allah SWT.
Beliau berkata, keputusan muzakarah itu sudah diperkenankan Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya ke-188 pada 21 hingga 23 Mac 2001.
"Oleh itu, dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang, pertubuhan atau parti tertentu diperlukan sebelum seseorang itu layak masuk ke syurga atau neraka salah mengikut ajaran Islam.
"Jawatankuasa juga berpendapat sesiapa yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar," katanya di Universiti Sains Islam Malay-sia (Usim) dekat sini, semalam.
Pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Isnin lalu, Nik Abdul Aziz mendakwa ajaran Islam yang dibawa Umno sudah tentu tidak boleh membawa seorang Muslim ke syurga.
Kelmarin, ramai tokoh agama dan ahli akademik menyifatkan kenyataan Nik Abdul Aziz itu sebagai keterlaluan dan tidak mencerminkan kewibawaannya sebagai ulama.
Malah, ada yang berpendapat Mursyidul Am Pas itu sudah berada pada tahap ekstrem serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij yang menganggap mereka saja betul, manakala orang lain salah dan kafir.
Abdul Shukor yang juga Naib Canselor Usim, menasihatkan umat Islam, terutama yang mempunyai ilmu pengetahuan mengenai Islam, berhati-hati dan tidak menimbulkan perkara tidak betul atau bida'ah hingga boleh memecahkan ummah.
"Kepada orang ramai, saya ingin nyatakan dalam ajaran Islam sebenar, tidak sesiapa boleh menentukan seseorang itu berhak masuk syurga atau neraka, kecuali Allah SWT yang mempunyai hak mutlak dan boleh memasukkan seseorang itu ke syurga atau neraka berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu atau sebaliknya.
"Janganlah kita mudah terpengaruh dengan pandangan yang aneh, jauh dari kebenaran dan boleh menyesatkan kita," katanya sinis.
Abdul Shukor juga berharap Nik Abdul Aziz membetulkan semula pandangannya bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
"Saya mengharapkan politik itu tidak mengatasi agama. Saya harapkan juga supaya kita sama-sama tidak menggunakan Islam atau pandangan tertentu demi kepentingan politik, malah saya harapkan kita bersatu dan melupakan isu politik demi agama kerana isu agama lebih tinggi," katanya.
Sumber: bharian.com.my
Selamat datang di Suara Indonesian sebuah blog tentang segala informasi mengenai Indonesia dengan segala perkembangannya, semoga blog ini bisa menambah sedikit wawasan anda.
Mohon kritik & saran berkaitan dengan penulisan artikel blog ini.
Terima kasih.
Maju Terus Indonesia!!
0 komentar:
Posting Komentar
Silahkan Tinggalkan Komentar Anda Dibawah ini